SPRM gesa buat laporan dakwaan Ahli Parlimen minta wang daripada ahli perniagaan
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat dan bukti sahih berhubung dakwaan seorang Ahli Parlimen meminta wang daripada ahli perniagaan tampil membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan yang hangat diperkatakan di media itu.
Menurutnya, maklumat yang tular setakat ini juga belum dapat disahkan kesahihannya.
“Sehubungan itu, SPRM menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat sahih agar tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan berasaskan fakta,” menurut kenyataan itu.
SPRM turut memaklumkan pihaknya mengambil maklum pelbagai dakwaan yang berlegar di media berhubung isu permintaan dan pembayaran wang kepada seorang ahli politik.
“SPRM komited meneliti setiap maklumat yang diterima dan sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan bukti kukuh selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan ahli perniagaan, Victor Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang dikaitkan dengan skandal korporat.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya menjelaskan bahawa bayaran tersebut bukan diberikan secara langsung kepada Ahli Parlimen berkenaan, sebaliknya disalurkan kepada pihak ‘orang tengah’ sebagai yuran perkhidmatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








