JENAYAH & MAHKAMAH

Presiden sebuah NGO, lima lagi suspek ditahan jual darjah kebesaran palsu

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam individu termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat dengan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu yang membawa gelaran Tan Sri dengan bayaran kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber, suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan pada 30 November lalu di ibu pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, dua lagi suspek iaitu wanita berusia 40-an serta lelaki berusia 30-an ditahan secara berasingan pada 4 dan 6 Disember lalu.

Sumber berkata, suspek terbaharu yang ditahan kira-kira jam 3 petang di Melaka kelmarin merupakan Presiden sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) disyaki menjadi dalang utama menetapkan harga bagi calon yang berminat mendapatkan pingat kebesaran.

“Suspek juga mengarahkan ahli sindiketnya iaitu suspek kedua, lelaki berusia 50-an yang menyamar sebagai Tengku bagi mendapatkan bayaran bagi menipu kira-kira enam individu lain yang ingin mendapatkan pingat kebesaran tanpa melalui prosedur biasa,” katanya hari ini.

Beliau berkata, isteri suspek kedua pula dipercayai terlibat bersama dua lagi suspek yang menyamar sebagai ahli perniagaan sebuah syarikat berasaskan pertanian bagi menguruskan transaksi penerimaan wang tersebut.

“Sindiket ini dipercayai mula menjalankan kegiatan ini sejak 2020 dan telah memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian beratus ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan bagi meyakinkan mangsa bahawa gelaran dan pingat yang di atur melalui pintu belakang, ini adalah benar-benar tulen.

“Salah seorang mangsa lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai telah membayar kira-kira RM1.2 juta untuk mendapatkan gelaran Tan Sri menerusi beberapa transaksi bank kepada sindiket ini dan SPRM sedang berusaha mengesan 5 lagi invididu yang turut menjadi mangsa sindiket,” kata sumber itu lagi.

Menurut sumber lagi, bayaran yang dikenakan berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000; Datuk Seri (RM250,000) manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.

Susulan penahanan tersebut, tiga suspek yang ditahan telah disambung reman selama 3 hari bermula 6 hingga 8 Disember 2023 manakala seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Suspek wanita yang ditahan pada 4 Disember lalu telah ditahan reman selama 4 hari bermula 5 hingga 8 Disember 2023 manakala suspek utama ditahan reman selama lima hari bermula semalam sehingga 11 Disember 2023 selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, SPRM kini sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button