BERITA SEMASA

SPRM kemuka 12 cadangan penambahbaikan kepada JAIPs

KANGAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis mengemukakan 12 cadangan penambahbaikan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan tatakelola dan mengelakkan risiko jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani berkata, antara penambahbaikan dicadangkan termasuk dalam hal sistem pengurusan pendaftaran perkahwinan luar negara dan pembayaran elaun saudara baru (mualaf).

“Antara cadangan melibatkan pengurusan pendaftaran perkahwinan luar negara ialah mewujudkan arahan atau larangan kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan perkhidmatan sebagai ejen tanpa kebenaran JAIPs.

“Langkah ini bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan peribadi melalui penyediaan dokumen dan maklumat palsu serta melanggar prosedur ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Mohd Nor Adha berkata, bagi isu pengurusan dan pembayaran elaun saguhati kepada saudara baru, SPRM mencadangkan JAIPs mewujudkan garis panduan yang lebih komprehensif mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Undang-Undang Negeri Perlis.

Jelas beliau, langkah itu penting bagi memastikan proses dilaksanakan secara telus dan teratur serta mengelak berlakunya rasuah, penyelewengan dan penipuan, selaras Seksyen 7(c), (d) dan (e), Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah JAIPs, Maizura Shamsuddin berkata, pihaknya memandang serius setiap dapatan yang dibentangkan dan menyambut baik semua syor penambahbaikan dikemukakan SPRM.

Katanya, JAIPs bertanggungjawab melaksanakan segala cadangan itu dengan segera demi memperkukuh prinsip tadbir urus baik, ketelusan dan integriti dalam perkhidmatan awam.

Pada Mei tahun lalu, SPRM Perlis menjalankan siasatan kes rasuah membabitkan pengurusan pendaftaran pernikahan luar negara yang membawa kepada pertuduhan Januari lalu melibatkan jumlah kira-kira RM330,000.

Pada Januari tahun ini pula, siasatan turut dijalankan berkaitan tuntutan palsu dan penyelewengan dalam pengurusan pembayaran elaun saguhati mualaf melibatkan jumlah sekitar RM135,000.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button