4 lelaki disyaki tekong ditahan bersama 30 PATI Myanmar
TANAH MERAH – Empat lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai tekong ditahan bersama 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam operasi di Pangkalan Haram Yuti, Nibong, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, operasi bersepadu antara agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (KDNKA) itu dijalankan pada pukul 9.45 pagi hasil maklumat risikan.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penahanan 34 individu, terdiri daripada 30 warga Myanmar iaitu 18 lelaki dan 12 perempuan serta empat lelaki tempatan.
“Empat warga tempatan itu disyaki terbabit membawa masuk warga asing melalui laluan tidak sah.
“Tiga daripada mereka didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis turut menemui sebotol cecair disyaki air ketum berjumlah kira-kira 450 mililiter di dalam sebuah kereta Perodua Myvi.
Dua kenderaan, masing-masing Perodua Myvi dan Honda City turut dirampas bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













