BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

97 PATI ditahan dalam serbuan Imigresen di Klang, Kajang

PUTRAJAYA – Seramai 97 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi besar-besaran yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua lokasi tumpuan warga asing, iaitu tapak penjaja pasar malam di Klang dan bazar malam (downtown) Kajang, semalam.

Operasi yang dijalankan oleh pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan serta Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan JIM Ibu Pejabat Putrajaya itu disertai 90 anggota pelbagai pangkat, hasil risikan dan aduan awam selama seminggu.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, pemeriksaan dilakukan ke atas 884 individu, termasuk warganegara asing dan tempatan, di dua kawasan berkenaan yang dipercayai menjadi lokasi tumpuan warga asing khususnya mereka yang berselindung di sebalik Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tamat tempoh.

“Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 97 warga asing terdiri daripada 72 lelaki dan 25 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 62 tahun dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Beranang dan KLIA bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.

Zakaria berkata, hasil siasatan awal mendapati segelintir warga asing tersebut dipercayai menjalankan perniagaan tanpa kebenaran sah selain tinggal melebihi tempoh dan menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara.

Beliau menegaskan, JIM akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau majikan yang menggaji serta melindungi PATI.

“Jabatan tidak akan berkompromi dengan warga asing yang berniaga secara haram, tinggal melebihi tempoh atau menyalahgunakan pas di negara ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button