BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dipukul dan dipaksa jadi pelacur, wanita India diselamatkan polis

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga India yang dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah di Malaysia berdepan mimpi ngeri apabila dipukul dan dipaksa melacur di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.

Mangsa berusia 39 tahun itu diselamatkan dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semalam.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, mangsa tiba di negara ini dari Tiruchi, India pada 11 Julai lalu dengan janji akan diambil bekerja sebagai pembantu rumah.

“Sebaliknya, dia dibawa ke sebuah hotel dan dikurung dalam bilik sebelum mendakwa dipukul serta dipaksa menjadi pelacur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis kemudiannya menahan seorang lelaki warga India berusia 41 tahun yang mengaku terbabit dalam pengurusan aktiviti pelacuran bersama seorang rakan.

“Wanita itu ditawarkan antara RM50 hingga RM80 untuk setiap perkhidmatan seks,” tambah beliau.

Susulan itu, polis turut menahan tujuh lelaki dan lima wanita warga India berusia 21 hingga 43 tahun di lokasi sama termasuk pelacur, penjaga kaunter, ulat pelacuran dan pelanggan.

Mohamed Usuf berkata, sindiket beroperasi dengan mencari pelanggan di kaki lima hotel dan menyasarkan warga asing seperti Bangladesh, Nepal dan India.

“Jika pelanggan bersetuju, mereka dibawa ke hotel dan dipandu oleh penjaga premis untuk memilih wanita,” katanya.

Turut dirampas dalam serbuan ialah kondom, buku catatan pelanggan, tisu serta wang tunai RM267.

Kes disiasat mengikut Seksyen 373 dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button