Hotel 3 bintang tawar tempahan seks melalui aplikasi WhatsApp
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan pelacuran warga asing yang beroperasi di sebuah hotel tiga bintang di Jalan Ipoh, di sini, dalam Operasi Khas pada 5 September lalu.
Dalam serbuan bermula pukul 8.45 malam itu, seramai 37 warga asing berusia 19 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada dua lelaki Myanmar, seorang lelaki India, seorang lelaki Indonesia, 17 wanita Indonesia, sembilan wanita Thailand, enam wanita Vietnam dan seorang wanita Laos.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjadikan hotel sebagai pusat pelacuran dengan pelanggan memilih wanita melalui aplikasi WhatsApp atau hadir terus ke premis.
Bayaran yang dikenakan antara RM250 hingga RM400 sejam.

“Semakan awal mendapati sebahagian besar yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas lawatan. Turut dirampas ialah pasport pelbagai negara serta salinan perjanjian kerja,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala tujuh lelaki tempatan turut dipanggil membantu siasatan.
Dalam operasi berasingan pada 6 September di Nilai, Negeri Sembilan, JIM menahan 21 wanita Myanmar berusia 25 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pusat hiburan khusus untuk warga Myanmar.
Zakaria berkata, premis terbabit hanya beroperasi hujung minggu dengan pelanggan diwajibkan membeli minuman keras sebelum ditawarkan wanita sebagai pelayan dengan bayaran RM150 hingga RM200 setiap seorang.
“Seorang wanita Myanmar yang bertindak sebagai penjaga premis bersama 20 wanita lain ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen sah atau tinggal lebih masa.
“Turut disita ialah buku catatan urus niaga serta tujuh telefon bimbit,” jelasnya.
Beliau menegaskan, JIM akan terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan serta keberadaan warga asing tanpa izin selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







