JENAYAH & MAHKAMAH

Penyamar pengiring Raja Muda Selangor ditahan di Johor

SHAH ALAM – Lelaki yang menyamar sebagai pegawai pengiring sulit (ADC) Raja Muda Selangor bagi memperdaya mangsa dalam urusan jual beli rumah dan kenderaan ditahan di sebuah kondominium di Johor, semalam.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang selepas menghilangkan diri sejak 13 Oktober lalu. Turut ditahan ialah dua beradik berusia 26 dan 27 tahun di Selangor dan Johor Bahru.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua beradik itu dipercayai membantu suspek utama bersembunyi, manakala salah seorang daripada mereka dipercayai teman wanita lelaki berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai melakukan penipuan menggunakan modus operandi berkenaan sejak 2023 dengan menggunakan gambar Raja Muda Selangor untuk memperdaya mangsa.

Sebanyak 26 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan kerugian lebih RM1.42 juta. Daripada jumlah itu, 15 laporan dibuat di Selangor dengan kerugian RM960,020.

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang dipercayai miliknya serta tiga telefon bimbit.

Sebelum ini, seorang pelakon, Muhammad Ridzuan Shahul Hamid, 34, mendakwa ditawarkan rumah berharga RM115,000 di Wangsa Maju pada 2023. Pentadbiran Istana Selangor turut menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes penyamaran itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button