Operasi pusat data tidak jejas bekalan air – Fadillah
KUALA LUMPUR – Kerajaan melarang pembinaan pusat data di kawasan yang mempunyai rizab air kritikal bagi memastikan keperluan asas rakyat tidak terjejas, khususnya ketika kemarau atau gangguan bekalan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi pasukan petugas khas pusat data (DCTF) yang mengutamakan kepentingan pengguna awam dan keselamatan grid elektrik negara.
Beliau berkata, operator pusat data juga diwajibkan menyediakan tangki simpanan air yang mampu menampung penggunaan sekurang-kurangnya dua hari.
Selain itu, pemaju perlu meneroka sumber air alternatif bagi sistem penyejukan, termasuk air pulih guna, air kitar semula dan air hujan.
“Kerajaan melaksanakan sekatan penempatan secara bersasar dan pemaju dihalang sama sekali daripada membina pusat data di lokaliti yang mencatatkan margin rizab air kritikal.
“Keperluan itu bagi mengelak tekanan terhadap sistem agihan awam sekiranya berlaku krisis bekalan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai langkah memastikan operasi pusat data tidak menjejaskan bekalan air dan elektrik rakyat ketika kemarau atau gangguan bekalan.
Menurut Fadillah, pelan mitigasi kecemasan operator air turut merangkumi penghantaran bekalan secara berjadual, penggunaan lori tangki dan tangki statik serta bantuan rentas negeri jika keadaan menjadi kritikal.
Bagi bekalan elektrik, katanya, keselamatan grid nasional dan kepentingan pengguna domestik kekal sebagai keutamaan melalui penilaian teknikal oleh Kumpulan Fokus Tenaga (EFG) di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pusat data juga disyaratkan menyediakan penjana sokongan yang boleh diaktifkan segera bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap grid ketika waktu beban puncak.
“Kerajaan turut menggalakkan penjanaan elektrik sendiri menerusi skim Solar Self-Consumption (SelCo) tanpa eksport tenaga ke grid. Operator juga perlu memenuhi kuota minimum 30 peratus penggunaan tenaga boleh baharu (TBB),” katanya.
Sehingga Ogos lalu, kapasiti elektrik yang telah dimeterai bagi pusat data mencecah 13,346 megawatt (MW). Bagaimanapun, penggunaan sebenar ketika ini hanya sekitar 1,356 MW atau kira-kira 10 peratus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




