BERITA SEMASA

Penantian dua jam berakhir pilu, penghantar barang maut kemalangan

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang wanita menerima barangan yang dinantikan selama hampir dua jam tidak kesampaian apabila dia mendapat berita penghantar yang ditunggunya maut dalam kemalangan.

Kejadian menyedihkan itu dikongsikan pengguna Threads, @Fathinaleya yang pada awalnya tertanya-tanya apabila penghantar berkenaan tidak memberikan sebarang maklum balas selepas sekian lama.

Menerusi hantaran itu, wanita berkenaan turut berkongsi tangkap layar perbualannya dengan penghantar terbabit sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Weh, aku dah dua jam tunggu rider ni, lepas tu pelik kenapa tak ada respons dan tak gerak. Lepas tu kawan telefon dan ada orang angkat, cakap rider ni kemalangan dan meninggal tempat kejadian.

“Tolong siapa kenal rider ni. Dia tengah cari waris,” katanya.

Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan, penghantar berkenaan dikenali sebagai Muhammad Helmie Muhammad Termizi, manakala nombor pendaftaran motosikalnya bermula dengan huruf D.

Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang meluahkan rasa simpati terhadap nasib penghantar berkenaan, selain mendoakan agar urusan keluarganya dipermudahkan.

Seorang pengguna @Cuchubunga menulis bahawa penghantar itu mungkin sedang berusaha menyelesaikan tugasan penghantarannya dengan segera.

“Plat D, merantau jauh-jauh nak cari rezeki halal,” tulis seorang lagi pengguna, Nurul Wahidda.

Sementara itu, @Akbar7honda mendakwa maklumat mengenai kemalangan tersebut turut dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp penghantar.

Seorang pengguna lain, @Meykinda pula mengatakan kemalangan itu berlaku di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) di laluan menghala ke Pantai Dalam.

Bagaimanapun, maklumat mengenai identiti mangsa dan lokasi kejadian berdasarkan perkongsian media sosial itu belum dapat disahkan secara rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button