Lelaki pandu kereta berlogo ‘bomba rescue’ ada rekod rawatan bipolar
SUNGAI PETANI – Lelaki berusia 35 tahun yang tular kerana memandu secara melulu sebuah kereta berpelekat ‘bomba rescue’ mempunyai rekod mendapatkan rawatan psikiatri akibat gangguan bipolar sejak 2017.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asistan Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki itu ditahan di kawasan Taman Bandar Puteri Jaya, di sini selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan kelmarin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek tidak mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak dua tahun lalu.
“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencingnya negatif,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan dan beberapa barangan berkaitan kejadian bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek direman sehari bermula hari ini dan kini ditempatkan di wad HSAH sementara siasatan lanjut dijalankan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Noor Farah Hazwani Osman di hospital berkenaan pagi tadi.
Hanyan berkata, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan kenderaan persendirian yang tular di media sosial itu bukan kenderaan rasmi jabatan berkenaan.
JBPM turut menjelaskan kenderaan berkenaan bukan milik mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri itu.
Sebelum ini, rakaman video sebuah kereta berwarna merah yang mempunyai pelekat ‘bomba rescue’ serta lampu amaran khas tular di media sosial selepas kenderaan itu dilihat dipandu secara melulu sehingga mengundang kemarahan pengguna jalan raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

