Kesejahteraan rakyat, agenda Bumiputera kekal tuntutan utama BERSATU
KUALA LUMPUR – Kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan agenda Bumiputera kekal menjadi prinsip utama BERSATU susulan pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA) oleh enam Ahli Parlimen parti itu bersama Kerajaan Persekutuan hari ini.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pemeteraian perjanjian berkenaan yang berteraskan kepentingan nasional, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik serta integriti pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Pendirian ini penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran dalam negara terus terpelihara, khususnya ketika rakyat berdepan cabaran geoekonomi yang memerlukan perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka.
“Agenda pemerkasaan Bumiputera turut menjadi antara tuntutan utama yang dimasukkan secara substantif dalam perjanjian itu dan tidak boleh dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, perkara berkenaan penting bagi melindungi serta memperkukuh ekosistem ekonomi Bumiputera, memperluas kesaksamaan dalam pendidikan dan meningkatkan peluang sosioekonomi golongan berkenaan.
“Selain kepentingan rakyat dan agenda Bumiputera, CSA turut dilihat sebagai ruang untuk menggerakkan komitmen BERSATU terhadap reformasi institusi secara menyeluruh.
“Antara perkara yang ditekankan ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bagi memastikan pentadbiran lebih telus serta mengelakkan pemusatan kuasa secara mutlak.
“Selain itu, peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga perlu dibebaskan bagi melindungi kebebasan badan kehakiman serta memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara tanpa campur tangan politik.
“Reformasi institusi ini penting untuk memperkukuh prinsip semak dan imbang serta memastikan sistem pentadbiran negara berfungsi dengan lebih telus dan berintegriti,” tambahnya,
Pihaknya turut menekankan bahawa politik yang matang perlu berlandaskan prinsip dan mengutamakan kepentingan negara, bukannya percaturan kepartian semata-mata.
Oleh itu, perjanjian CSA ini menjadi bukti komitmen berprinsip BERSATU dalam mengutamakan kepentingan nasional mengatasi percaturan politik kepartian demi masa depan Malaysia yang lebih stabil dan telus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








