POLITIK

PAT BERSATU pentas utama tegaskan kedudukan Muhyiddin sebagai teraju utama hadapi PRU16

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bermula hari ini penting kerana bakal menjadi pentas untuk menegaskan kedudukan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai peneraju utama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata, isu pencalonan calon perdana menteri daripada BERSATU tidak boleh dipandang remeh kerana berkait rapat dengan keyakinan akar umbi dan imej kepimpinan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Pada masa yang sama, wujud juga suara-suara, baik dari dalam mahupun luar parti, yang membayangkan keperluan tokoh alternatif untuk diangkat sebagai calon perdana menteri.

“Malah, beberapa kenyataan daripada pimpinan Pas sebelum ini juga dilihat seakan memberi isyarat ke arah semakan semula kepimpinan dan strategi PN, yang secara tersirat menunjukkan keraguan terhadap Muhyiddin sebagai “poster boy” pilihan raya,” katanya.

Beliau berpandangan, BERSATU perlu terlebih dahulu menegaskan kedudukan siapa calon perdana menteri mereka, kerana keputusan itu akan dibawa ke meja rundingan bersama rakan komponen PN.

“Hanya selepas persoalan itu dijernihkan, barulah proses permuafakatan dan pengukuhan kerjasama antara parti dalam PN dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas dan strategik.

“Dalam konteks ini, usul calon perdana menteri dan usul memperkukuh kerjasama PN sebenarnya saling berkait,” katanya.

Tambahnya, isu calon perdana menteri adalah prasyarat penting untuk memastikan PN tampil dengan kepimpinan yang jelas, bersatu, dan diyakini menjelang PRU ke-16.

BERSATU akan mengadakan PAT ke-8 mulai hari ini hingga esok di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, dengan fokus utama menetapkan strategi menghadapi PRU16.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button