BERITA SEMASAPOLITIK

Keputusan sertai PN akan diumum November ini

KUALA LUMPUR – MIC akan memutuskan hala tuju masa depannya sama ada kekal dalam Barisan Nasional (BN) atau menyertai Perikatan Nasional (PN) pada perhimpunan agung parti itu yang dijadual berlangsung November ini.

Timbalan Presidennya, Datuk M. Saravanan berkata, walaupun MIC telah menerima jemputan rasmi daripada PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), keputusan muktamad hanya boleh ditentukan oleh perwakilan parti.

“Memang ada jemputan daripada PAS dan BERSATU, saya ucap terima kasih. Namun, perkara ini akan diputuskan oleh perhimpunan agung, bukan saya ataupun Presiden.

“Kami berdua tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan,” katanya memetik laporan Agenda Daily.

M. Saravanan berkata demikian selepas menghadiri Program Ziarah Bulan Kemerdekaan ke-68/2025 di Kampung Orang Asli Batu 19 ½, Jalan Pahang, hari ini.

Saravanan berkata, walaupun sebahagian negeri telah memberi mandat berhubung pendirian parti, keputusan keseluruhan tetap akan dibawa ke pentas perhimpunan agung.

Mengulas mengenai jemputan PN, beliau menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap MIC.

Katanya, perkara itu menunjukkan parti berkenaan masih dilihat berpengaruh dalam kalangan masyarakat India serta membuktikan keterbukaan PAS dan BERSATU untuk bekerjasama.

Dalam pada itu, Saravanan menegaskan hubungan MIC dengan BN kekal baik walaupun parti itu kini tidak begitu aktif dalam gabungan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button