BERITA SEMASA

PRN Johor: Tolak DAP bukan rasis – Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan menolak DAP bukan merupakan isu rasis atau perkauman.

Beliau berkata, ini kerana DAP bukan merupakan salah satu kaum yang ada tetapi ialah parti politik.

“Tolak DAP bukan rasis. Itu politik.
DAP bukan kaum. DAP ialah parti politik. Kalau tolak DAP dikira rasis, maka apa pula namanya bila DAP tolak MCA, UMNO, MIC, PAS atau BERSATU selama ini?

“Kita lihat juga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini. DAP kalah semua lapan kerusi yang ditandingi, termasuk di kawasan bandar yang ada ramai pengundi Cina.

“Pengundi Cina di Sabah tolak DAP. Jadi adakah kita mahu kata pengundi Cina di Sabah pun rasis terhadap DAP? Sudah tentu tidak. Mereka buat pilihan politik. Sama juga dengan rakyat Johor. Mereka berhak buat pilihan politik sendiri,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Semalam Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan rela tidak memegang jawatan sebagai Menteri Besar Johor daripada duduk semeja dengan DAP dalam kerajaan.

Dalam pada itu Ka Siong berkata, sepanjang beliau dalam politik, Menteri Besar Johor itu antara pemimpin paling tidak rasis yang pernah ditemui dan bekerjasama.

Beliau berkata, Onn Ghazi tidak melihat rakyat Johor melalui lensa kaum yang sempit sebaliknya melihat semua rakyat Johor sebagai satu rakyat, satu keluarga, satu Bangsa Johor.

“Malah, antara EXCO Johor yang sering beliau rujuk dan beri tanggungjawab penting ialah dua wakil MCA dalam kerajaan negeri iaitu Lee Ting Han memegang portfolio Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia serta Ling Tian Soon pula memegang portfolio Kesihatan dan Alam Sekitar.

“Ini bukan portfolio kecil. Ini tanggungjawab besar yang melibatkan ekonomi Johor, pekerjaan, pelaburan, kesihatan rakyat, perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

“Jadi, menuduh Onn Hafiz rasis hanya kerana BN Johor mahu bertanding dan bergerak secara solo adalah tidak adil, tidak bertanggungjawab dan tidak jujur dari segi politik,” katanya.

Sementara itu katanya, keputusan BN Johor bergerak solo bukan tindakan rasis tetapi merupakan keputusan politik oleh gabungan negeri yang sudah mempunyai mandat sendiri, rekod sendiri dan tanggungjawab sendiri kepada rakyat Johor.

“Johor bukan Putrajaya. Kerjasama di peringkat pusat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh dipaksa bulat-bulat ke dalam PRN negeri.

“Kalau DAP boleh tolak parti lain dan panggil itu strategi politik, maka BN Johor juga ada hak yang sama untuk tentukan haluan sendiri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button