LUAR NEGARA

Tiga lukisan karya agung bernilai RM44 juta ditemukan semula

ROME – Tiga karya agung pelukis terkenal dunia, Auguste Renoir, Paul Cezanne dan Henri Matisse yang dicuri dari sebuah muzium di Itali Mac lalu berjaya ditemukan semula oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Kesemua lukisan berkenaan bernilai lebih sembilan juta euro (kira-kira RM44 juta) dan dilarikan sekumpulan pencuri bertopeng dalam rompakan yang hanya mengambil masa kurang tiga minit.

Rakaman kamera keselamatan yang dikeluarkan polis menunjukkan dua suspek bertopeng dan memakai lampu kepala memecah masuk ke vila Yayasan Magnani Rocca berhampiran Parma, sebelum terus menuju ke bilik pameran ketiga-tiga karya berkenaan.

Mereka menanggalkan lukisan Poissons karya Renoir, Still Life with Cherries oleh Cezanne dan Odalisque on the Terrace hasil karya Matisse sebelum menyerahkannya melalui tingkap kepada seorang rakan yang menunggu di luar.

Polis menganggarkan lukisan Renoir bernilai €6 juta, Cezanne (€3) manakala karya Matisse sekitar €20,000.

Vila berkenaan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Parma menempatkan koleksi ahli sejarah seni Luigi Magnani, termasuk karya Albrecht Durer, Peter Paul Rubens, Anthony van Dyck, Francisco Goya dan Claude Monet.

Kes berkenaan menambah senarai rompakan membabitkan institusi seni terkenal di Eropah, termasuk kejadian di Muzium Louvre, Paris pada Oktober tahun lalu apabila pencuri melarikan barang kemas bernilai jutaan euro dalam tempoh kurang lapan minit. – AGENSI

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button