PM ke Itali, fokus perkukuh hubungan dua hala
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja tiga hari ke Itali bermula hari ini, menandakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu sejak mula memegang jawatan.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan dari 1 hingga 3 Julai itu diadakan atas undangan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.
Mengiringi Anwar dalam misi diplomatik itu ialah barisan menteri kanan termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Meloni di Istana Chigi, Rom pada 3 Julai nanti.
“Pertemuan ini bakal menjadi platform penting bagi kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga.
“Selain itu, kedua-dua pihak dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk hubungan Rakan Pembangunan ASEAN-Itali, Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah dan perkembangan di Asia Barat,” menurut kenyataan itu lagi,
Tambahnya, Perdana Menteri turut dijadual merasmikan Persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali pada 2 Julai yang bakal menghimpunkan tokoh industri kedua-dua negara bagi meneroka potensi pelaburan dan perdagangan dua hala.
“Lawatan itu juga memperuntukkan masa untuk Anwar bertemu komuniti Islam di Itali serta beramah mesra bersama diaspora Malaysia.
“Hubungan Malaysia-Itali yang terjalin sekian lama terus menunjukkan perkembangan positif, didorong oleh pertumbuhan perdagangan dan pelaburan yang stabil,” jelas kenyataan itu.
Tahun lalu, jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat dua peratus kepada RM14.61 bilion (AS$3.18 bilion), manakala bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula, nilai dagangan mencatat kenaikan 3.3 peratus kepada RM6.50 bilion (AS$1.48 bilion) berbanding tempoh sama tahun lalu.
Itali kini merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dari blok tersebut bagi tahun 2024.
Usai lawatan ke Itali, Perdana Menteri dijadual meneruskan perjalanan ke Perancis untuk lawatan rasmi selama dua hari bermula 3 Julai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








