PMX

PM ucap tahniah Aliff Rakib cipta sejarah rangkul juara dunia ONE Championship

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Aliff Rakib atas kejayaannya melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama muncul juara dunia ONE Championship.

Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Perdana Menteri berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah membuktikan anak muda Malaysia mempunyai keupayaan, keberanian dan iltizam untuk bersaing serta mencipta kejayaan di pentas dunia.

“Semoga pencapaian bersejarah ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus mengejar cita-cita dengan tekad, disiplin dan semangat juang yang tinggi. Yakinlah, tiada yang mustahil apabila usaha disertai kesungguhan dan tawakal.

“Syabas, Aliff. Malaysia berbangga dengan kejayaan ini,” katanya sambil menyifatkan kejayaan Aliff sebagai kebanggaan negara.

Aliff Rakib, 22, melakar sejarah apabila muncul rakyat Malaysia pertama menjuarai gelaran dunia ONE Championship selepas menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, menerusi kemenangan knockout (KO) pada pusingan kelima.

Kemenangan itu diraih dalam perebutan Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada Jumaat, sekali gus menghadiahkan Malaysia gelaran dunia pertama dalam sejarah ONE Championship.

Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan Aliff tali pinggang kejuaraan dunia interim, malah bonus kemenangan berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM204,565).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button