PM umum 7 insentif sempena Sambutan Hari Peneroka Felda
MARAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tujuh insentif buat peneroka FELDA merangkumi inisiatif perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Anwar ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2026 Peringkat Kebangsaan dan ulang tahun ke-70 FELDA berkata, kerajaan akan turut menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu berlarutan membabitkan generasi kedua FELDA.
“Kerajaan amat memahami kebimbangan generasi baharu FELDA berhubung isu perumahan, khususnya berkaitan konsep pembinaan dua rumah di atas satu lot (2R1L).
“Kita sudah mengenal pasti beberapa inisiatif strategik utama bagi menangani isu perumahan generasi baharu FELDA.
“Antara inisiatif itu ialah cadangan pindaan kepada Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 bagi membolehkan lebih daripada satu unit rumah dibina di atas satu lot kediaman,” katanya ketika merasmikan sambutan itu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, hari ini.
Cadangan itu, katanya, kini berada pada peringkat akhir penelitian dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
“Sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 8,000 unit rumah di bawah konsep 2R1L sudah siap dibina dan diduduki.
“Kerajaan juga akan meluluskan penyambungan bekalan utiliti seperti air dan elektrik berdasarkan permohonan yang diterima.
“Bagi pembinaan unit baharu selepas tarikh itu, saya berharap semua pihak dapat bersabar dan memberi ruang kepada kerajaan memuktamadkan cadangan pindaan berkenaan bagi memastikan hak pemilikan tanah di rancangan FELDA dapat diurus dengan lebih teratur dan tersusun,” katanya lagi.
Mengenai isu Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai di seluruh negara, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta bagi menyiapkan 554 baki unit rumah berkenaan.
“Projek ini tertangguh disebabkan kelemahan dari segi perancangan dan pemantauan. Saya mengarahkan pihak pengurusan meneliti setiap projek dengan rapi dan mengemukakan laporan dalam tempoh dua bulan.
“Kerajaan negeri dan syarikat utiliti perlu membantu Felda mempercepatkan proses ini. Kita tidak boleh sekadar membuat pengumuman dan menunggu sehingga tahun depan. Saya juga mengarahkan laporan kemajuan dikemukakan setiap dua minggu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















