Kematangan, kebijaksanaan politik kunci perkukuh perpaduan negara
KOTA KINABALU – Malaysia memerlukan kematangan, kewarasan dan kebijaksanaan politik bagi mempertahankan serta memperkukuh semangat negara bangsa yang dibina atas nilai perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepelbagaian yang menjadi asas pembentukan negara perlu terus dipelihara menerusi semangat saling menghormati, selain menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan masyarakat, lapor BERNAMA.
“Sebab itu cabaran kita negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, suku kaum yang berbeza, warna kulit yang berbeza. Kita perlukan kematangan, kewarasan, kebijaksanaan dalam politik dalam mempertahankan dan memperkukuh semangat negara bangsa ini,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Likas, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar menjelaskan, pembentukan negara bangsa seperti Malaysia memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran tinggi sebagaimana yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh pengasas negara terdahulu.
Beliau berkata, tokoh seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta pemimpin dari Sabah dan Sarawak mempunyai jiwa murni serta kecintaan mendalam terhadap tanah air walaupun mewakili pelbagai latar belakang yang berbeza.
“Menarik tokoh-tokoh seperti Tun Temenggong Jugah Barieng, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Fuad Stephens, mereka ini mempunyai jiwa murni untuk menjayakan Malaysia,” kata beliau.
Perdana Menteri seterusnya mengingatkan rakyat supaya meneruskan perjuangan tokoh terdahulu dengan menjaga perpaduan negara dan tidak membiarkan isu kaum atau wilayah digunakan untuk menanam kebencian.
Beliau berkata, perbuatan menanam bibit kebencian dan sikap tidak menghormati perbezaan akan menjadi punca kepada perpecahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















