Syed Saddiq, Bella Astillah jemput orang ramai ke ‘Kenduri Rakyat’ sempena perkahwinan
KUALA LUMPUR – Bakal raja sehari, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah menjemput orang ramai menghadiri majlis ‘Kenduri Rakyat’ sempena perkahwinan mereka yang bakal berlangsung pada 10 Oktober ini.
Majlis berkenaan akan diadakan di Muar, Johor pada 25 Oktober, sebelum diteruskan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, kedua-dua majlis resepsi itu dirancang dalam tempoh kurang dua bulan, sekali gus menyebabkan mereka berdepan kekangan masa dan kesukaran mendapatkan lokasi yang sesuai.

Katanya, konsep ‘Kenduri Rakyat’ dipilih dengan mengetengahkan semangat rewang dan meraikan perkahwinan bersama masyarakat.
“Majlis kahwin kami nanti bertemakan rewang. Kalau sebelum ini, sambutan Hari Raya yang saya anjurkan di Muar sudah mencecah 10,000 orang, jadi kita jangka untuk kenduri kami lebih ramai yang akan datang.
“Jadi, majlis itu nanti berkonsepkan ‘siapa cepat dia dapat’ (nikmati juadah). Jika makanan habis sekalipun, kami akan berada di sana untuk bersama dengan tetamu,” katanya pada majlis Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddiq, di sini hari ini.
Sebanyak 10,000 cenderahati istimewa turut disediakan untuk tetamu yang hadir ke majlis berkenaan.
Ditanya mengenai perasaannya menghitung hari bahagia bersama Bella pada 10 Oktober nanti, Syed Saddiq pantas menjawab:
“Saya tak sabar nak menghalalkan hubungan kami.”
Menurut Syed Saddiq, dia mengakui tidak rasa berdebar, tetapi tidak sabar untuk bergelar suami kepada Bella.
“Perasaan saya lebih kepada tidak sabar berbanding berdebar. Tak sabar nak kongsikan hari bahagia kami bersama semua termasuklah keluarga dan sahabat andai.
“Saya selalu kongsikan kepada bakal isteri saya, kebahagiaan perlu dikongsikan kepada semua kerana tanpa doa, sokongan dan dorongan orang ramai, mungkin hari ini (perkahwinan) tidak akan terjadi. Setiap orang ada saham dalam menjayakan perkahwinan kami,” katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella mengesahkan mereka bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober ini.
Majlis pernikahan pasangan itu dijadual berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini, dengan konsep serba putih yang disulami elemen Arab dan Islamik atas permintaan keluarga.
Menariknya perjalanan kisah cinta mereka dari mula perkenalan sehingga menjelang hari perkahwinan bakal disiarkan dalam program khas Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq yang akan ditayangkan di Astro Ria bermula 6 Oktober 2026.
Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula berkenalan dengan lebih rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








