Prosiding rayuan hari kedua: Syed Saddiq kekal optimis, mohon doakan keadilan tertegak
PUTRAJAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal optimis berhubung rayuannya mengenepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, prosiding rayuan yang kini memasuki hari kedua itu merupakan satu proses yang penuh dengan cabaran, namun beliau tetap yakin bahawa kebenaran dan keadilan akan tertegak.
“Saya optimisik, saya menaruhkan harapan sepenuhnya di tangan Allah dan kepada fakta dan data yang dibentangkan. Saya hanya mohon orang ramai di luar sana doakan keadilan akan menang,” katanya dalam satu sidang media di perkarangan Istana Kehakiman hari ini.
Ditanya sama ada beliau berasa gementar, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan bahawa tempoh penantian selama lima tahun jauh lebih mencabar berbanding saat pengumuman keputusan.
“Dalam ketengan mesti ada sedikit rasa gentar kerana tempoh lima tahun menunggu itu jauh lebih teruk daripada hari keputusan dan saya tahu saya tidak bersalah dan ia hanya boleh dibuktiknn oleh institusi kehakiman,” ujarnya lagi.
Semalam, panel tiga Hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memaklumkan akan mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan pada hari ini.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan itu.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang juga hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden Muda itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








