SUKAN

Pertemuan TMJ, pemilik Chelsea buka ruang JDT perluas jaringan antarabangsa

JOHOR BAHRU – Jaringan antarabangsa Johor Darul Ta’zim (JDT) terus diperluas apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengadakan pertemuan dengan salah seorang pemilik Chelsea, Behdad Eghbali, semalam.

Pertemuan di Johor Bahru itu turut membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia dan ketua jurulatih Chelsea, Xabi Alonso.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT menerusi catatan di laman Instagram bertitah bahawa pertemuan itu turut membuka ruang untuk Harimau Selatan meningkatkan rangkaian dan memanfaatkan pelbagai kepakaran.

“Pertemuan yang sangat bagus dengan salah seorang pemilik Chelsea, Behdad Eghbali; ketua jurulatih Chelsea, Xabi Alonso; CEO JDT, Luis Garcia dan COO JDT, Alistair Edwards,” titah baginda.

Chelsea hadir ke Johor bagi aksi persahabatan menentang JDT yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi dengan perlawanan itu berkesudahan seri 3-3.

Pertembungan buat kali pertama dalam sejarah itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sengit meskipun sekadar perlawanan persahabatan apabila saling berbalas jaringan dan serangan hingga ke penghujung permainan.

Bintang sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi yang tampil dengan jersi baharu bernombor 10 serta memakai lilitan kapten membuka tirai jaringan pada minit ke-14.

Dua lagi gol Harimau Selatan disumbangkan Oscar Arribas dan pemain gantian, Bergson Da Silva pada minit ke-65 dan 86.

Jaringan Chelsea pula dihasilkan menerusi dua sepakan penalti, Liam Delap pada minit ke-42 dan 62 serta jaringan sendiri pertahanan JDT, Cristian Glauder pada minit ke-89.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button