
ATM junjung kasih titah Pemangku Sultan Johor
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih dan merafakkan setinggi-tinggi penghargaan atas titah kenyataan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada ATM.
Menurut ATM dalam satu kenyataan, titah baginda itu menterjemahkan sinergi strategik yang utuh antara institusi diraja, kerajaan negeri dan ATM.
“Kesediaan kerajaan negeri Johor memberikan ruang serta kerjasama penuh bagi pelaksanaan eksesais ketenteraan adalah nadi kepada kelangsungan kesiagaan ATM.
“Pada masa yang sama, ATM turut menjunjung setinggi-tinggi kasih atas jaminan Pemangku Sultan Johor untuk terus membuka pintu dan menyantuni veteran ATM yang pastinya melonjakkan lagi moral warga perkhidmatan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu katanya, pengiktirafan terhadap jasa perwira yang telah menamatkan perkhidmatan membuktikan bahawa pengorbanan mereka kekal dihargai.
Mengulas lanjut katanya, ATM menegaskan bahawa ketumbukan itu sentiasa beroperasi berlandaskan lunas perundangan.
Justeru katanya, mandat pertahanan negara dilaksanakan secara holistik melangkaui sempadan geografi.
“Latihan yang konsisten dan realistik di lapangan sebenar adalah prasyarat wajib bagi memperkasa kompetensi taktikal warga ATM sekaligus menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap tertinggi.
“ATM akan terus memfokuskan sumber dan kepakaran kepada objektif teras pertahanan nasional. ATM juga kekal profesional dan akan sentiasa meletakkan keselamatan rakyat serta kedaulatan tanah air sebagai keutamaan mutlak di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








