Tender perolehan aset ATM bergantung pembentangan RMK-13 – Khaled Nordin
Itali, Perancis sedia tawar kemudahan kredit elak kekangan kewangan
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan perolehan aset strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya akan dimuktamadkan selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) hujung bulan ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan kini menunggu keputusan muktamad berhubung permohonan aset pertahanan untuk membina angkatan masa depan yang lebih moden.
“Kita perlu tunggu 31 Julai ini untuk mengetahui perkara-perkara yang kerajaan benar-benar bersetuju, khususnya aset-aset penting dalam proses pemodenan ATM,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan program pendidikan Yayasan LTAT di ibu negara hari ini.
Baca juga : Kesejahteraan anggota ATM, memodenkan aset ketenteraan jadi fokus utama tahun ini
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, negara seperti Itali dan Perancis bersedia menawarkan kemudahan kredit kewangan sekiranya Malaysia melakukan perolehan aset dari negara mereka.
Beliau berkata, ia bertujuan memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada usaha pemodenan ketenteraan negara.
“Mereka sedia beri kemudahan kredit, iaitu kemudahan kewangan supaya soal kekangan kewangan tidak menghadkan kita,” jelas beliau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengesahkan Malaysia sedang dalam rundingan untuk membeli dua pesawat pemantau maritim (Maritime Patrol Aircraft), 28 helikopter Leonardo AW149 serta kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) dan kapal peronda pesisir pantai (LMS) daripada syarikat pertahanan Itali, Fincantieri.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa perolehan aset seperti MRSS dan Medium Support Helicopter (MSPHT) akan melalui proses tender, namun akan diberi keutamaan kepada perolehan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi menjamin harga yang lebih kompetitif.
“Kalau melalui tender terbuka pun, agaknya sukar mana-mana pihak mengatasi tawaran harga yang dibuat secara G2G,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








