Insiden tembakan: Malaysia kecam keganasan, solidariti bersama Poland – Anwar
KUALA LUMPUR – Malaysia menzahirkan solidariti bersama rakyat Poland susulan insiden tembakan di Kraków yang mengorbankan enam nyawa serta mencederakan beberapa individu lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada sebarang ideologi boleh dijadikan alasan untuk membunuh insan tidak berdosa.
Beliau berkata, Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban selain mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.
“Laporan bahawa penyerang dipengaruhi fahaman ekstremisme sayap kanan amat membimbangkan.
“Tragedi ini memperlihatkan keperluan untuk menangani keganasan dalam semua bentuk, termasuk ancaman semakin meningkat daripada ekstremisme sayap kanan yang ganas,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, seorang lelaki bersenjata yang dilaporkan dipengaruhi ideologi ekstrem kanan membunuh enam individu termasuk seorang warga Britain, selain mencederakan ramai lagi di Kraków, bandar kedua terbesar di Poland.
Menurut laporan media antarabangsa yang memetik polis, suspek memandu kenderaannya ke Dataran Pasar Utama di Kraków sebelum melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia komited untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi membanteras ekstremisme serta mempertahankan keamanan dan maruah kemanusiaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














