Anwar kecam pihak keterlaluan ulas rundingan damai Hamas-Israel
MELAKA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam pihak yang keterlaluan melontarkan pandangan berhubung rundingan damai gencatan senjata membabitkan Hamas-Israel.
Kata Anwar, kecaman berlebihan sedemikian, terutama berhubung pembabitan Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan tersebut, tidak membantu untuk memberikan penyelesaian damai kepada wilayah Gaza.
“Saya sempat bercakap dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi (semalam) kerana nak ucap terima kasih atas khidmat dan jasanya bersama negara Arab termasuk Turkiye kerana sekurang-kurangnya menghentikan serangan Israel ke atas Gaza.
“Saya beritahu apa kerunsingan saya, kita tak setuju semua penyelesaian 20 Perkara (dicadangkan Presiden Donald Trump), tapi saya dengar juga (pandangan) lain termasuk Hamas yang berunding dengan Israel.
“Jadi yang kita nak lebih daripada Hamas itu kenapa? Orang di situ termasuk Hamas yang berunding, sikap kita pula nak ajar lagi, sedangkan Hamas ini yang bertempur dengan ribuan sudah mati.
“Kita pula cakap jangan berunding dengan AS dalam rundingan yang turut disertai Mesir dan Qatar,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Politeknik Merlimau, Melaka, hari ini.
Anwar turut berkata, sekurang-kurangnya rundingan dijalankan itu berhasil untuk menghentikan serangan berterusan Israel ke atas Gaza.
Dalam perbualan dengan pemimpin Mesir itu semalam, Anwar turut menyuarakan mengenai kebimbangan Malaysia terhadap kemungkinan Israel melakukan serangan semula.
“Sisi memberitahu, Mesir akan adakan satu persidangan pada November depan dan beliau akan ambil perkara yang kita bangkitkan yang tak termasuk dalam 20 perkara (cadangan Trump).
“Ketika ini, trak bawa makanan sudah dibenarkan masuk, kita juga minta (Mesir membuka) laluan untuk sukarelawan kita masuk dan Sisi memberikan jaminan itu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








