BERITA SEMASAPMX

Jangan jadikan agama alat cetus ketegangan, perpecahan – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa agama tidak seharusnya diperalatkan untuk mencetuskan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini, Anwar berkata, terdapat segelintir pihak yang berselindung di sebalik nama tokoh agama bagi menimbulkan polemik yang akhirnya merosakkan keharmonian masyarakat.

Menurut beliau, tindakan menggunakan agama sebagai alat untuk meraih sokongan atau menyerang pihak lain bukan sahaja menjejaskan perpaduan, malah boleh menggugat usaha pembangunan negara.

“Ada orang menggunakan kononnya nama sebagai tokoh Islam.

“Ada yang gunakan nama tokoh agama lain hanya untuk menimbulkan permasalahan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Anwar menegaskan, walaupun Islam merupakan agama Persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, Perlembagaan tetap menjamin hak semua kaum serta kebebasan beragama.

Beliau berkata, kestabilan politik dan keharmonian antara agama adalah asas penting kepada kemajuan negara.

Katanya, pencapaian ekonomi yang memberangsangkan ketika ini termasuk pertumbuhan yang positif, kadar inflasi rendah dan pengangguran yang terkawal boleh terjejas sekiranya rakyat terus diheret dengan isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin agama dan masyarakat agar memainkan peranan lebih aktif dalam menyampaikan mesej kedamaian serta menolak sebarang pendekatan yang boleh menyemarakkan kebencian.

Dalam masa sama, beliau memuji semangat toleransi rakyat pelbagai kaum yang saling menghormati perayaan dan amalan agama masing-masing, sambil menyifatkannya sebagai kekuatan unik Malaysia yang perlu terus dipertahankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button