Krisis tenaga global tidak gugat komitmen kerajaan terhadap pendidikan
KUALA KANGSAR – Kerajaan sama sekali tidak akan meminggirkan sektor pendidikan walaupun dunia sedang menghadapi ketidaktentuan susulan krisis tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bagi memastikan mutu pendidikan untuk generasi masa depan tidak terjejas.
Beliau berkata, pendirian kerajaan adalah untuk memastikan projek kemudahan pendidikan diluluskan dan dilaksanakan segera tanpa menangguhkannya melainkan projek besar yang memerlukan masa yang panjang.
Bagaimanapun, bagi projek kecil, terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan akan terus diberikan keutamaan, lapor BERNAMA.
“Banyak negara kerana kebetulan sengketa dan perseteruan dengan negara-negara jiran dan rantau, terpaksa membelanjakan peruntukan yang tinggi untuk keselamatan.
“Oleh itu peruntukan untuk pendidikan itu agak terbelakang. Generasi berikutnya tentu akan terkesan bila mutu pendidikan dan kemudahannya itu agak hambar,” kata beliau dalam ucapan ketika menghadiri Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga dan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Wong Kah Woh serta Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Perdana Menteri turut menegaskan dalam sistem pendidikan, penerapan nilai adab adalah suatu perkara yang tidak boleh dipinggirkan dan perlu terus menjadi keutamaan warga pendidik bagi melahirkan generasi yang tinggi moral dan akhlaknya.
Sementara itu, berhubung permintaan tambahan oleh Old Cliffordians’ Association (OCA) untuk SMK Clifford, Anwar berkata, ia terpaksa ditangguhkan buat sementara sehingga ekonomi negara kembali stabil.
“Tetapi untuk sekolah, saya telah dengar tadi daripada Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan (Datuk Dr Mohd Azam Ahmad) dan juga beberapa projek yang (dilaksanakan) ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri), Insya-ALLAH kita segerakan.
“Bila saya katakan segerakan, saya minta pejabat daerah bersama-sama untuk teliti projek ini mesti dimulakan selewat-lewatnya dua minggu (selepas) daripada kehadiran saya,” kata beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















