BERITA SEMASAPMX

Tiada halangan anjur program FELDA, hanya tegah kempen guna jentera kerajaan – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menghalang penganjuran program melibatkan komuniti FELDA sepanjang tempoh kempen pilihan raya, namun penggunaan jentera dan kemudahan kerajaan Persekutuan bagi tujuan berkempen adalah dilarang sama sekali.

Beliau berkata, arahan jelas sudah dikeluarkan bahawa semua acara yang menggunakan jentera kerajaan tidak dibenarkan sepanjang tempoh kempen pilihan raya bagi memastikan prinsip keadilan dan integriti dipatuhi.

“Saya tidak memberikan arahan (sekat sebarang penganjuran program bersama FELDA). Arahannya ialah tidak boleh ada acara menggunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya. Itu arahan bagi kesemua.

“Jadi dalam soal Hari Peneroka, ia tidak dilarang. Kerajaan negeri nak pergi bagi geran tanah, itu hal dia walaupun dia tahu peraturan pilihan raya bukan larangan.

“Tapi untuk gunakan jentera FELDA berkempen, tidak boleh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai pembatalan sambutan Hari FELDA di Kluang, Johor yang didakwanya berpunca daripada isu politik sehingga menjejaskan harapan peneroka untuk menerima geran tanah.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan, keputusan mengenai program tersebut di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya atas arahan kerajaan Persekutuan.

Malah, katanya, isu pembatalan itu tidak pernah dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri kepadanya selain turut menyifatkan dakwaan yang tular di media sosial itu sebagai tidak berasas.

Beliau berkata, tiada halangan untuk mana-mana Menteri Besar memasuki kawasan FELDA bagi melaksanakan program mereka sendiri.

Menyentuh mengenai soal kebajikan peneroka pula, Anwar berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri sentiasa memberi perhatian serius terhadap agenda pemulihan FELDA yang sebelum ini terjejas akibat pengurusan terdahulu.

Ujarnya, kerajaan juga menyalurkan peruntukan bantuan RM1 bilion sebulan bagi menyelamatkan kedudukan kewangan agensi berkenaan demi kepentingan peneroka.

“FELDA yang untungnya besar semasa (kepimpinan) bekas Pengerusi Kumpulan FELDA, Raja Muhammad Alias memegang, dimusnahkan kerana pengurusan yang merosakkan dan sekarang kita pulihkan, kita yang tampung.

“Banyak kemudahan baharu yang kita sediakan umpamanya pusat dialisis di setiap kawasan dan semua jentera kerajaan Pusat masuk untuk bantu sekolah dan sebagainya,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Jelasnya, langkah itu adalah perubahan besar berbanding sebelum ini kerana kawasan FELDA dilihat sering kali tercicir atau ‘terkepung’ daripada projek pembangunan desa secara menyeluruh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button