Suspek samun cuba lemaskan anggota polis, tembakan amaran dilepaskan
TAWAU – Tindakan seorang suspek samun bersenjata cuba menyerang dan melemaskan anggota polis ketika melarikan diri ke laut menyebabkan tembakan amaran terpaksa dilepaskan polis dalam operasi di Kampung Titingan, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang, 9 Oktober lalu ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan Titingan menjalankan operasi mengesan suspek.
Menurutnya, operasi itu dijalankan susulan kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun pada pukul 3.50 pagi hari sama.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik mangsa, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,500.
“Semasa operasi tangkapan, seorang suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut.
“Suspek turut memukul dan cuba melemaskan seorang anggota polis ketika dikejar sehingga tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum suspek berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Rosdi berkata, kejadian itu menyebabkan dua anggota polis cedera, manakala sebatang besi yang dipercayai digunakan suspek turut dirampas.
Suspek yang merupakan lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an itu didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif methamphetamine dan amphetamine.
Dalam pada itu, Rosdi menjelaskan rakaman video yang tular di media sosial memaparkan tembakan amaran dilepaskan polis dan bukannya insiden berbalas tembakan seperti yang disalah tafsir segelintir pengguna media sosial.
Beliau berkata, polis masih mengesan dua lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








