BERITA SEMASA

Amaran ribut petir hampir seluruh negara hingga petang ini

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang dijangka melanda hampir semua negeri di seluruh negara sehingga jam 5 petang, ini.

MetMalaysia memaklumkan antara negeri terlibat ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor selain Sarawak dan Sabah.

Menurut agensi itu, di Kedah kawasan yang dijangka terjejas termasuk Kubang Pasu, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

“Bagi Perak, kawasan terlibat ialah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang serta Muallim.

“Di Terengganu pula melibatkan Besut, Hulu Terengganu dan Dungun, manakala di Pahang termasuk Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Tambah MetMalaysia, amaran sama turut dikeluarkan bagi Selangor melibatkan Sabak Bernam dan Hulu Langat, selain seluruh Negeri Sembilan dan Melaka.

Di Johor, kawasan terjejas ialah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Sementara itu, di Sarawak, kawasan yang dijangka terlibat termasuk Bau, Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Miri dan Limbang.

Bagi Sabah pula, kawasan terlibat ialah Nabawan, Pantai Barat, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

MetMalaysia berkata, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang berpotensi berterusan lebih sejam.

“Amaran ini bersifat jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button