Yayasan MBI peruntuk RM400,000 bantu mangsa ribut, puting beliung
KUALA LANGAT – Sebanyak RM400,000 bantuan bencana disalurkan Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) kepada sekolah dan penduduk yang terjejas akibat ribut serta puting beliung di Sijangkang dan Meru, semalam.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, peruntukan itu merupakan bantuan awal bagi meringankan beban sekolah dan penduduk yang terkesan.
“Yayasan MBI bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM300,000 bagi kawasan terbabit, selain tambahan RM100,000 menerusi dana zakat wakalah MBI, menjadikan jumlah keseluruhan RM400,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan kerosakan akibat bencana itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan di sini hari ini.
Baca juga : Kampung Medan diisyhtihar kawasan bencana tahap 1
Menurut beliau, bantuan itu akan diagihkan kepada sekolah-sekolah yang mengalami kerosakan, selain RM100,000 disalurkan kepada Pusat Khidmat DUN Sijangkang dan RM50,000 kepada Pusat Khidmat DUN Meru bagi tujuan pembaikan rumah penduduk.
Setakat ini, katanya, enam sekolah dikenal pasti mengalami kerosakan, termasuk Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, SK Sijangkang Jaya dan sekolah di Jalan Tanjung.
“Setiap sekolah yang terjejas akan menerima bantuan antara RM20,000 hingga RM50,000 bergantung kepada tahap kerosakan.
“SRA Kampung Medan dan SK Kampung Medan masing-masing mendapat RM50,000, manakala sekolah lain sekurang-kurangnya RM20,000. Saya yakin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan turut bantu,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sijangkang dan Meru masih menempatkan kira-kira 70 keluarga.
“Kita hantar dulu bantuan tambahan untuk membantu JKM dengan bantuan lain. Selepas itu, kita akan beri sumbangan khas bencana kepada mereka yang berdaftar di PPS. Biasanya kita bagi RM500 bergantung tahap keseriusan,” katanya.
Tambahnya, pejabat daerah turut mempunyai bantuan lain yang boleh dipertimbangkan, selain kerajaan negeri dan Persekutuan kini meneliti bentuk bantuan lebih menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment