BERITA SEMASA

Ribut Tropika Senyar: Lebih 15 kes dilapor di Port Dickson sejak malam tadi

PORT DICKSON – Lebih 15 kes berkaitan Ribut Tropika Senyar dilaporkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson sejak pukul 11 malam semalam.

Pegawai APM Port Dickson, Kapten Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata, keadaan cuaca buruk yang bermula malam tadi menyebabkan banyak kejadian pokok tumbang, malah beberapa kes masih dalam tindakan pihaknya.

“Kami menerima banyak laporan sejak lewat malam, terutama membabitkan pokok tumbang.

“Terdapat beberapa lokasi yang masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya,” memetik BH online.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya menerima aduan kira-kira pukul 3.14 pagi berhubung sebuah pokok tumbang di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson bergegas ke lokasi dan mendapati pokok berkenaan menghempap sebuah kereta Proton Saga.

Bagaimanapun, tiada mangsa berada di dalam kenderaan tersebut ketika kejadian.

Ribut Tropika Senyar yang dikesan di perairan Selat Melaka semalam mulai memasuki perairan negara sekitar pukul 3.30 petang dan dijangka berterusan sehingga pagi esok.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Hisham Mohd Anip menasihatkan orang ramai supaya bersiap siaga menghadapi hujan lebat luar biasa yang dijangka berlaku berikutan kesan ribut berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button