Kementerian Kerja Raya gerakkan petugas JKR periksa bangunan rosak akibat ribut di Telok Panglima Garang
PUTRAJAYA – Insiden ribut yang melanda Telok Panglima Garang, Sijangkang petang tadi menyebabkan kerosakan kepada beberapa bangunan awam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan kejadian, pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan JKR Kuala Langat sudah turun padang ke lokasi kejadian bagi memeriksa kerosakan yang berlaku.

Menurut beliau, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya turut mengalami kerosakan apabila sebahagian besar bumbung diterbangkan oleh ribut.
“(Susulan kejadian) Pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan JKR Kuala Langat telah turun padang bagi menjalankan pemeriksaan struktur dan penilaian keselamatan di sekolah berkenaan.
“Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR Selangor juga sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sistem pendawaian bangunan terjejas sebagai langkah awal mengelakkan kemalangan,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Buat masa ini, katanya JKR Selangor telah menasihatkan pihak sekolah supaya menangguhkan sesi persekolahan sehingga keselamatan struktur bangunan terjamin.

“Blok bangunan baharu di bawah program Sekolah Berkepadatan Tinggi yang baru diserahkan hari ini turut mengalami kerosakan kecil pada penutup bumbung, dan kontraktor telah diarahkan untuk melaksanakan pembaikan segera.
“JKR kini sedang menyediakan anggaran kerja pembersihan dan kerja perlindungan aset bagi mengelakkan kerosakan lebih serius,” katanya lagi.
Alexander turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang tercedera dalam insiden runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang di Dewan Wawasan Kampung Medan.
“Saya dimaklumkan bahawa seorang wanita cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan dan berjaya diselamatkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan.
“Beberapa murid turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan apabila runtuhan berlaku di surau KAFA berhampiran lokasi kejadian,” katanya.
Dalam hantaran sama, Alexander turut menyeru orang ramai supaya berhati-hati dan menjauhi kawasan yang mengalami kerosakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Bersama-samalah kita menjaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








