BERITA SEMASA

Intertraffic Amsterdam 2026: Malaysia perkukuh kerjasama mobiliti pintar

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat satu lagi pencapaian di pentas antarabangsa apabila menyertai Intertraffic Amsterdam 2026 buat kali pertama, sekali gus menjadi satu-satunya negara ASEAN yang menerima jemputan rasmi menyertai forum global berprestij itu.

Program mengenai teknologi trafik, infrastruktur jalan raya dan mobiliti pintar yang berlangsung di RAI Amsterdam dari 9 hingga 12 Mac itu menyaksikan penyertaan delegasi negara yang diketuai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut dijemput sebagai ahli panel dalam sesi sidang kemuncak program berkenaan.

Menurut Alexander Nanta, penyertaan sulung Malaysia dalam Intertraffic Amsterdam merupakan satu pengiktirafan penting terhadap usaha negara dalam memperkukuh pembangunan sistem mobiliti pintar serta pengurusan infrastruktur jalan raya yang lebih cekap dan berdaya tahan.

“Platform ini memberi peluang kepada Malaysia untuk meninjau perkembangan terkini dalam teknologi pengurusan trafik, keselamatan jalan raya serta pelaksanaan Intelligent Transport Systems (ITS).

“Pada masa yang sama, ia membuka ruang kepada kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa bagi memperkukuh keupayaan negara dalam pembangunan mobiliti pintar,” katanya.

Delegasi Malaysia turut disertai Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Roslan Ismail serta Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Mohd. Hadzmir Yusoff.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur pintar dan sistem mobiliti yang lebih cekap itu selari dengan aspirasi blueprint ITS Malaysia 2025–2030 serta Kerangka Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan negara secara mampan, berinovasi dan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

Sebagai rekod, Intertraffic Amsterdam merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan sejak tahun 1972 dan diiktiraf sebagai antara platform global paling berpengaruh dalam bidang pengurusan trafik dan infrastruktur jalan raya.

Edisi tahun ini dijangka menghimpunkan ribuan delegasi industri, pembuat dasar serta penyedia teknologi dari lebih 100 negara sekali gus menjadi platform penting bagi perkongsian pengetahuan dan inovasi dalam sektor mobiliti pintar global.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan sepanjang program tersebut, beberapa organisasi dan rangkaian Intelligent Transport Systems (ITS) antarabangsa turut menyatakan minat untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Malaysia.

“Pertemuan itu bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang teknologi mobiliti pintar, perkongsian kepakaran serta pembangunan sistem pengangkutan yang lebih selamat dan cekap,” katanya.

Menurut KKR, penglibatan Malaysia di Intertraffic Amsterdam turut melengkapi usaha KKR dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan perkongsian ilmu di peringkat domestik.

Perkongsian ilmu itu katanya, dilaksanakan melalui kerjasama strategik dalam penganjuran Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik MY-ASEAN (MyARTTE) serta Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC).

“Kedua-dua platform tersebut berperanan sebagai medium strategik bagi menterjemahkan perkembangan teknologi serta amalan terbaik antarabangsa kepada pelaksanaan yang lebih praktikal dalam pengurusan trafik dan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya negara,” tambah kenyataan itu.

Menurut KKR lagi, melalui pendekatan itu, Malaysia berpotensi memainkan peranan lebih aktif sebagai antara rujukan pembangunan sistem mobiliti pintar di rantau ASEAN, selari dengan usaha memperkukuh kerjasama serantau serta mempercepat agenda transformasi infrastruktur negara.

“Penyertaan tersebut mencerminkan komitmen Kementerian Kerja Raya untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama global serta menyokong agenda transformasi sistem pengangkutan dan infrastruktur negara yang lebih moden, berdaya tahan dan berteraskan teknologi demi manfaat rakyat,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button