HIBURAN

Gagal, ditipu dan bangkit semula: The Day We Start Again satukan pelakon Malaysia-Taiwan

MENGANGKAT kisah manusia biasa yang berdepan kegagalan, pengkhianatan dan cabaran hidup sebelum bangkit mengejar impian, filem The Day We Start Again kini memulakan penggambaran dengan menghimpunkan barisan pelakon Malaysia dan Taiwan.

Produksi terbitan bersama Xingyu Group dan platform hiburan interaktif VYBE serta diterbitkan Lomo Pictures itu memulakan penggambaran semalam dengan Dr Kervis Soo bertindak sebagai penerbit, ketua perancang, penulis skrip dan pengarah.

Turut menyertai filem berkenaan ialah pelakon Taiwan, Bruce Chiu dan Charlene An Yu Chin, selain barisan pelakon tempatan termasuk Lay Kar Heng, Olio Tan, Henn dan Yuan Teng serta penyanyi, pempengaruh, hos siaran langsung dan DJ.

filem
Penggambaran filem ini telah dimulakan semalam dan dijangka selesai pada pertengahan November.

Penerbit Eksekutif, Ryon Lee berkata, filem berkenaan mengisahkan sekumpulan individu biasa yang berdepan penipuan, tekanan hidup dan kegagalan ketika berusaha menghasilkan sebuah filem.

“Cerita ini mengangkat perjalanan orang biasa yang pernah jatuh dan hilang arah, tetapi masih memilih untuk meneruskan kehidupan serta mengejar impian mereka.

“Melalui kisah dua beradik, kami mahu melihat bagaimana seseorang boleh bangkit semula selepas berdepan kegagalan, kehilangan kepercayaan dan pelbagai cabaran,” katanya.

Filem itu memberi tumpuan kepada dua beradik, apabila si abang pulang ke kampung dan menjual ikan masin selepas gagal dalam perniagaan, manakala adiknya kembali dari Taiwan selepas belajar dalam bidang perfileman sebelum ditipu ketika mendapat peluang menghasilkan sebuah filem.

Pengarah Eksekutif, DY Loh pula berkata, penglibatan generasi muda dalam produksi berkenaan penting bagi memberikan nafas lebih segar kepada jalan cerita dan mendekatkannya dengan penonton masa kini.

“Charlene membawakan watak wanita yang sekian lama menjaga seorang warga emas di penghujung hayat sebelum kehidupannya berubah selepas menyertai projek filem berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Bruce berkata, dia tertarik menerima tawaran tersebut kerana karakter yang diberikan membolehkannya meneroka sisi lakonan yang berbeza.

“Saya tertarik dengan karakter ini dan berharap dapat meneroka sisi diri yang berbeza menerusi watak tersebut,” katanya.

Lay Kar Heng pula membawakan watak utama buat pertama kali dan berharap lakonannya dapat menghiburkan penonton selain membina keserasian semula jadi bersama pelakon lain.

Bagi Dr Kervis yang turut membiayai sepenuhnya projek berkenaan, filem itu diinspirasikan daripada pengalaman manusia berdepan pengkhianatan, kemalangan, kemurungan dan saat kehilangan arah.

“Dalam hidup, saat paling sukar bukanlah pengakhiran. Saya berharap filem ini dapat mengingatkan penonton bahawa setiap orang masih mempunyai pilihan untuk bermula semula,” katanya.

Kira-kira 90 peratus penggambaran dijalankan di Malaysia termasuk Kuala Lumpur dan Kluang, manakala penggambaran tambahan dirancang di Luang Prabang, Laos. Produksi dijangka selesai pada pertengahan November dan filem itu dirancang untuk menemui penonton tahun depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button