HIBURAN

Tayangan filem Konspirasi ditamatkan atas permintaan penerbit – FINAS

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengesahkan tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara ditamatkan mulai 28 Mei lalu atas permintaan pihak penerbit sendiri.

FINAS berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pawagam.

“Berdasarkan emel yang dikongsikan kepada FINAS, penerbit filem berkenaan iaitu Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd. telah meminta supaya tayangan filem tersebut dihentikan bermula tarikh berkenaan.

“Semakan FINAS dengan pengedar dan pemamer filem mendapati penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FINAS turut berkata, filem tersebut sebelum ini telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei lalu.

Filem itu mula ditayangkan pada 21 Mei 2026 di 120 skrin pawagam di seluruh negara.

Menurut FINAS, pihaknya kini sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada penerbit berhubung keputusan menamatkan tayangan filem berkenaan.

“Namun sehingga kini penerbit masih belum dapat dihubungi meskipun beberapa usaha telah dilakukan.

“Pihaknya akan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkaitan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button