Wan Ahmad Fayhsal tidak sedarkan diri ketika siapkan kerja sekolah anak
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak sedarkan diri sehingga jam 6 petang selepas tiba-tiba pengsan ketika sedang menyiapkan latihan kerja sekolah anaknya pada awal pagi tadi.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan beliau kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan kecemasan.
“Assalamualaikum, salam sejahtera. Saya kini berada di HKL untuk jalani pemeriksaan dan rawatan mengejut.
“Pada awal pagi tadi ketika saya sedang siapkan latihan kerja sekolah anak tiba-tiba saya tidak sedarkan diri sama sekali sampailah jam 6 petang,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, beliau akan menjalani pemeriksaan CT scan bagi mendapatkan penilaian lanjut terhadap keadaan kesihatannya.
“Insya-Allah akan lalui rawatan CT scan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan keselamatannya.
“Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Wan Ahmad Fayhsal dikejarkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan kecemasan hari ini.
Setiausaha peribadinya, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin, berkata Wan Ahmad Fayhsal dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
Menurutnya, doktor menasihatkan Ahli Parlimen Machang itu supaya berehat sehingga sembuh sepenuhnya.
“Kami memohon semua pihak untuk mendoakan kesembuhan Wan Ahmad Fayhsal dan kembali sihat seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan berkenaan sebelum ini tidak mendedahkan punca Wan Ahmad Fayhsal memerlukan rawatan kecemasan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
