Sultan Pahang titah rakyat doa mohon hujan redakan jerebu
KUANTAN – Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh rakyat Pahang dan Malaysia supaya bersama-sama berdoa memohon hujan bagi membantu meredakan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Baginda turut berharap masyarakat serta syarikat perladangan di Kalimantan, Indonesia, diberikan kesedaran dan dibukakan hati untuk menghentikan aktiviti pembakaran secara terbuka yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara serta menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat di rantau ini.
Baginda bertitah, usaha menangani jerebu memerlukan kerjasama semua pihak selain ikhtiar berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.
“Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Pahang dan Malaysia amnya agar bersama-sama berdoa dan memohon ke hadrat Allah SWT supaya diturunkan hujan bagi membantu meredakan keadaan jerebu yang melanda ketika ini,” titahnya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Baginda menyeru rakyat supaya terus berdoa kepada Allah SWT, di samping mengamalkan langkah-langkah sewajarnya bagi menghadapi keadaan jerebu yang berlaku.
Pada masa sama, Baginda turut berharap keadaan cuaca kembali pulih dan hujan yang membawa rahmat dapat turun dalam masa terdekat, sekali gus membantu membersihkan udara serta mengurangkan kesan jerebu yang sedang dialami.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








