BERITA SEMASA

Sultan Pahang titah istilah ‘tanah adat’ jangan diguna sewenang-wenang

ROMPIN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya istilah ‘tanah adat’ tidak digunakan sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan kekeliruan mengenai status dan hak sesuatu kawasan tanah.

Baginda bertitah, di Semenanjung Malaysia khususnya Pahang, Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] tidak memperuntukkan kategori tanah yang dinamakan sebagai ‘tanah adat’.

Sebaliknya, menurut baginda, istilah yang diperuntukkan secara khusus di bawah akta berkenaan ialah ‘Kawasan Orang Asli’ di bawah Seksyen 6 dan ‘Rizab Orang Asli’ di bawah Seksyen 7 yang boleh diisytiharkan pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam warta.

“Janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘tanah adat’ seolah-olah setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki atau digunakan secara automatik menjadi hak.

“Kebelakangan ini banyak sangat isu berkaitan tanah dan pencerobohan di Pahang. Ini sedikit sebanyak menjejaskan hubungan dan anggapan kepada pihak istana dan kerajaan negeri.

“Dari dulu hingga kini, kita tidak pernah menganiaya mana-mana masyarakat Orang Asli,” titah baginda memetik laporan Bernama.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Program Kenduri Rakyat Sempena Sambutan Hari Orang Asli 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok, di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Program itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan negeri tidak pernah berniat menafikan hak masyarakat Orang Asli dan kebajikan mereka wajib dihormati, dipelihara serta dilindungi berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang.

Baginda bertitah, Perlembagaan turut membenarkan peruntukan khusus bagi perlindungan dan kemajuan masyarakat Orang Asli, termasuk dalam aspek perizaban tanah.

“Namun, hak mestilah berjalan bersama undang-undang. Di bawah Akta 134, pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk memberikan hak menduduki tanah tertentu dalam kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli.

“Justeru, sesuatu tuntutan tidak boleh diterima hanya kerana sesuatu kawasan disebut sebagai tanah adat. Status tanah, pewartaan, sempadan, sejarah pendudukan dan fakta di lapangan hendaklah diteliti terlebih dahulu mengikut undang-undang,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda berharap proses pengukuran, persempadanan dan pewartaan kawasan Orang Asli dapat dipercepatkan supaya kawasan yang diperuntukkan kepada masyarakat berkenaan benar-benar terpelihara.

Menurut baginda, langkah itu juga penting bagi mengelakkan pertindihan serta peluasan tuntutan tanpa batas.

“Saya tidak mahu mana-mana pihak sama ada individu, pertubuhan atau pihak berkepentingan mengelirukan masyarakat Orang Asli dengan memberikan gambaran bahawa setiap kawasan yang mereka tuntut merupakan tanah adat yang secara automatik menjadi milik mereka.

“Saya tidak mahu perkara seperti yang berlaku di Jemeri, di Rompin dan Kampung Cot di Maran berulang di tempat lain. Pihak berkuasa harus memainkan peranan lebih pantas untuk mengelakkan perkara ini berlaku berulang lagi,” titah baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button