POLITIK

Anthony Loke jamin peruntukan Orang Asli diteruskan jika PH menang di Negeri Sembilan

JELEBU – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memberi jaminan peruntukan kepada masyarakat Orang Asli akan terus disalurkan sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, terdapat pihak yang menakut-nakutkan masyarakat Orang Asli dengan dakwaan kononnya peruntukan kepada kampung Orang Asli akan dihentikan sekiranya PH memenangi PRN Negeri Sembilan.

“Dakwaan tersebut tidak benar kerana Kerajaan Persekutuan ketika ini diterajui Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau Pakatan Harapan menang, sudah tentu orang asli tetap dijaga, tetap terpelihara. Peruntukan untuk masyarakat Orang Asli tetap akan sampai kepada semua.

“Jadi ini adalah komitmen yang perlu mereka fahami dan dengar daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis Minum Petang bersama Anwar Ibrahim di Simpang Durian di sini, hari ini.

Baca juga : Projek rumah Simpang Durian 16 tahun tertangguh, Anthony Loke mohon bantuan PM

Loke yang juga Menteri Pengangkutan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah menjelang PRN Negeri Sembilan Sabtu ini.

Anthony berkata, kempen pilihan raya perlu dijalankan secara objektif dan jelas tanpa menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat.

“Hari ini yang duduk depan kita ini ialah Perdana Menteri yang berkuasa, yang paling berkuasa bukannya DAP yang berkuasa ini Perdana Menteri.

“Kalau Pakatan Harapan menang di Chennah, menang di Negeri Sembilan, Melayu tak hilang kuasa. Perdana Menteri kekal Datuk Seri Anwar Ibrahim orang Melayu. Menteri Besar kekal orang Melayu beragama Islam.

“Masyarakat Orang Asli juga tak perlu lagi bimbang. Jangan lagi kita ditekan, ditakut-takutkan dengan tekanan macam-macam,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Orang Asli yang hadir pada program berkenaan dan menyifatkan keberanian mereka menghadiri majlis itu sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button