Anthony Loke, Onn Hafiz ketepi polemik politik demi projek pengangkutan Johor
KULAI – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini memperlihatkan hubungan profesional apabila tampil sepentas dalam satu majlis rasmi selepas beberapa hari berbalas kenyataan mengenai kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan DAP menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kedua-dua pemimpin itu menghadiri Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai, dengan masing-masing dilihat bersalaman dan berbual mesra sebelum menyampaikan ucapan.
Anthony tiba di lokasi pada pukul 12.45 tengah hari diikuti Onn Hafiz kira-kira lima minit kemudian.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta beberapa pemimpin DAP.
Dalam ucapannya, Onn Hafiz mengalu-alukan kehadiran Loke dan delegasi Kementerian Pengangkutan ke Johor sambil menegaskan kepentingan memisahkan urusan pentadbiran kerajaan daripada perbezaan politik.
“Saya telah menyusun semula jadual selepas menerima notis jemputan pada saat akhir.
“Apa pun keadaan, kita perlu kekal profesional dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai kerajaan demi kesejahteraan rakyat, khususnya di Johor,” katanya memetik laporan BH Online.
Kehadiran kedua-dua pemimpin dalam majlis itu menjadi perhatian susulan polemik yang tercetus sejak awal bulan ini berkaitan pendirian BN Johor terhadap DAP menjelang PRN akan datang.
Pada 7 Jun lalu, ketika melancarkan jentera BN Johor di Iskandar Puteri, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor menegaskan gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya membentuk kerajaan negeri selepas PRN.
BACA JUGA:
Anthony Loke sindir Onn Hafiz isu kerjasama DAP-BN
Beliau turut menyatakan lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam pentadbiran negeri.
Kenyataan itu kemudian mendapat reaksi Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP apabila menyifatkan pendirian berkenaan bercanggah dengan realiti politik semasa memandangkan BN dan DAP merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Pertikaman lidah itu berlarutan apabila Anthony mengundang Onn Hafiz menaiki perkhidmatan KTM Komuter baharu sempena majlis pelancarannya hari ini, sebelum Menteri Besar Johor itu membalas dengan menyatakan beliau ‘terharu’ akhirnya menerima jemputan walaupun mendakwa surat rasmi hanya diterima pada saat akhir.
Onn Hafiz turut membangkitkan isu beberapa lawatan kerja Anthony sebelum ini di Johor yang didakwanya tidak melibatkan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Anthony menjelaskan beliau tidak menjemput Menteri Besar dalam lawatan kerja tertentu kerana memahami kesibukan jadual pemimpin negeri itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







