Projek rumah Simpang Durian 16 tahun tertangguh, Anthony Loke mohon bantuan PM
JELEBU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu menyelesaikan segera isu projek penempatan generasi kedua Kampung Simpang Durian yang tertangguh sejak 16 tahun lalu.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, meskipun lebih 70 unit rumah di bawah projek berkenaan kini hampir siap dibina, penduduk masih belum dapat mendudukinya berikutan kerja infrastruktur termasuk jalan, sistem perparitan dan bekalan air belum disiapkan sepenuhnya.
Jelasnya, projek yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kos sekitar RM16 juta hingga RM17 juta itu sebelum ini pernah terbengkalai lebih sedekad sebelum pembinaannya diteruskan semula.
“Rumah-rumah ini sebenarnya sudah hampir siap namun tanpa jalan, parit dan bekalan air yang lengkap, penduduk masih tidak dapat berpindah.
“Saya merayu kepada Perdana Menteri supaya menggunakan budi bicara untuk menyelaraskan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri agar baki kerja infrastruktur dapat disiapkan segera.
“Harapnya penyerahan kunci dapat dibuat sebelum penghujung tahun ini,” katanya ketika berucap pada majlis Minum Petang bersama Anwar Ibrahim di Simpang Durian di sini petang tadi.
Loke akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini.
Baca juga : Myanmar setuju terima semula 5,000 Rohingya dari Malaysia – Anwar
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan hasrat penduduk Simpang Durian yang mengharapkan pembinaan sebuah kompleks sukan dan belia di kawasan berkenaan bagi kegunaan generasi muda serta pelajar.
Katanya, kawasan Simpang Durian yang terletak berhampiran sempadan Negeri Sembilan dan Pahang masih kekurangan kemudahan rekreasi serta sukan untuk penduduk setempat.
“Ini adalah harapan dan permintaan daripada penduduk Simpang Durian. Mereka amat mengharapkan kerajaan dapat membina sebuah kompleks sukan dan belia di kawasan ini untuk aktiviti riadah dan sukan bagi generasi muda serta anak-anak sekolah.
“Terdapat enam buah sekolah di sekitar kawasan ini yang tidak mempunyai kemudahan sukan yang lengkap untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan penting bagi memastikan golongan muda di kawasan berkenaan mempunyai ruang untuk menjalankan aktiviti sukan serta riadah.
Selain itu, Anthony turut berharap projek menaik taraf jalan dan infrastruktur di kawasan berkenaan dapat disegerakan bagi meningkatkan kemudahan penduduk.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















