Tiga penjuru di DUN Paya Rumput, Azman berdepan Rafie, Abdul Rashid
MELAKA – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menyaksikan persaingan tiga penjuru apabila Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) masing-masing mengemukakan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
PH mempertaruhkan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, manakala PN meletakkan tokoh korporat, Rafie Ahmad dan BERSAMA diwakili Abdul Rashid Abu Bakar.
Pegawai Pengurus PRN Melaka bagi DUN Paya Rumput, Safuan Effendy Mat Ghani mengumumkan senarai calon yang layak bertanding sebaik tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Proses penamaan calon yang bermula pukul 9 pagi itu berlangsung di Stadium Hang Jebat, hari ini.
Baca juga : PRN Melaka: Azman Abidin mahu guna pengalaman bersama PM bantu penduduk

Suasana di pusat penamaan calon turut dimeriahkan dengan kehadiran ratusan penyokong yang mengiringi calon masing-masing, namun keseluruhan proses berjalan lancar, tenang dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Persaingan di Paya Rumput turut mendapat perhatian susulan keputusan Barisan Nasional (BN) menggugurkan penyandangnya, Datuk Rais Yasin, yang dipindahkan untuk bertanding di DUN Sungai Udang, kerusi yang disandang PN sebelum ini.
Pada PRN lalu, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu mempertahankan kerusi Paya Rumput dengan majoriti 629 undi.
Beliau menewaskan empat pencabar termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mewakili PH, selain Muhammad Fariz Izwan Mazlan (PN), Mohd Jaini Dimon (Bebas) dan Mohamad Hashidi Mohd Zin (Putra).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








