BERITA SEMASA

Jerebu: KPM timbang keselamatan murid, kebajikan ibu bapa dalam isu penutupan sekolah

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus membuat keputusan penutupan sekolah akibat jerebu berdasarkan keadaan semasa di setiap kawasan bagi mengutamakan keselamatan murid tanpa menjejaskan pembelajaran mereka secara berterusan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau memahami kebimbangan ibu bapa yang mengharapkan sekolah ditutup untuk beberapa hari sekali gus bagi memudahkan urusan keluarga ketika keadaan jerebu melanda.

Katanya, beliau sudah meminta supaya keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan.

“Dalam membuat keputusan ini, kita perlu memahami bahawa bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh berubah mengikut masa dan lokasi. Justeru, penutupan sekolah perlu mengambil kira keadaan semasa di setiap kawasan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Menurutnya, pengurusan jerebu turut membabitkan tanggungjawab beberapa agensi, dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau kualiti udara dan menangani isu pencemaran, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat.

Beliau berkata, KPM pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa.

Fadhlina berkata, pengalaman pandemik COVID-19 juga menjadi pengajaran mengenai kesan gangguan persekolahan terhadap pembelajaran anak-anak, terutama apabila usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan sehingga kini.

“Masa pembelajaran yang hilang bukan mudah untuk diganti, apatah lagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tidak sama bagi setiap murid,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, murid yang tinggal di asrama disarankan supaya terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keadaan selamat dan kebajikan mereka terjamin.

Katanya, langkah itu bertujuan mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali setiap kali berlaku perubahan keputusan penutupan sekolah.

Fadhlina berkata, KPM akan terus memantau perkembangan jerebu melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selain menambah baik penyampaian maklumat kepada ibu bapa.

“Terima kasih kepada semua ibu bapa atas pandangan dan kesabaran sepanjang kita berdepan situasi ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button