BERITA SEMASA

Raja Abdullah II tiba di Malaysia, mulakan lawatan negara dua hari

SEPANG – Raja Jordan, Raja Abdullah II tiba di Malaysia malam tadi bagi memulakan lawatan negara selama dua hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ketibaan baginda bersama delegasi dengan menaiki pesawat khas disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.20 malam.

Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, lawatan itu merupakan lawatan negara kedua Raja Abdullah II ke Malaysia selepas kunjungan pertama pada Mei 2008.

“Lawatan negara berlangsung ketika Malaysia dan Jordan meraikan lebih enam dekad hubungan diplomatik yang mula dijalinkan pada 1965,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang lawatan, Raja Abdullah II dijadual menerima Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara, diikuti majlis menghadap Sultan Ibrahim.

Baginda turut diraikan dalam Majlis Jamuan Negara dan dijadual menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malaysia dan Jordan mempunyai hubungan rapat yang telah lama terjalin, khususnya dalam bidang pendidikan.

Setakat 2026, seramai 1,636 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Jordan, manakala lebih 1,490 pelajar Jordan menuntut di institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

“Kedua-dua negara terus menggalakkan kerjasama pendidikan, kolaborasi akademik dan perkongsian kepakaran, di samping memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan saintifik,” menurut kenyataan itu.

Selain hubungan antara rakyat yang sekian lama terjalin, Malaysia dan Jordan turut berkongsi komitmen untuk memelihara keamanan, keadilan dan memastikan kestabilan berkekalan di rantau Asia Barat, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak sah rakyat Palestin.

Dari segi perdagangan, nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat 15.2 peratus berbanding 2024.

Nilai itu terus meningkat sebanyak 8.0 peratus kepada RM740.7 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button