BERITA SEMASA

Tabung Pahlawan sasar kutipan RM5 juta bagi 2026/2027

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menyasarkan kutipan RM5 juta menerusi Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 bagi memperkukuh bantuan kebajikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tanggungan yang memerlukan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan peningkatan kutipan tabung berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, kutipan bagi kempen 2023–2024 berjumlah RM1.306 juta sebelum meningkat kepada RM2.19 juta pada tahun berikutnya dan RM3.351 juta bagi kempen 2025–2026.

“Insya-Allah, untuk tahun ini, 2026–2027, saya sangat yakin kita akan melebihi dan mencapai sasaran. Sasaran kita ialah RM5 juta, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira, di sini hari ini.

Menurutnya, Tabung Pahlawan menyediakan bantuan kepada veteran dan tanggungan yang layak, khususnya bagi memenuhi keperluan yang tidak disediakan kerajaan.

Antara bantuan berkenaan termasuk susu khas, lampin dan peralatan pakai buang untuk veteran yang uzur, terlantar serta tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Khaled berkata, penglibatan aktif masyarakat, khususnya syarikat korporat dan sektor swasta, amat penting bagi memastikan lebih ramai veteran yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.

Katanya, sumbangan kepada tabung itu bukan sahaja mencerminkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota pertahanan, malah membantu memastikan kebajikan mereka terus terpelihara selepas menamatkan perkhidmatan.

Beliau berkata, sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat serta sumbangan peribadi individu layak mendapat pelepasan cukai pendapatan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai pihak tampil menyumbang bagi menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan veteran ATM dan keluarga mereka.

“Paling penting, kempen ini membuka ruang dan peluang kepada semua pihak mendekati, menyantuni dan bersama-sama terlibat secara bermakna dalam agenda kesejahteraan warga veteran ATM.

“Kita mahu masyarakat sedar bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai peranan untuk menyumbang dan menghargai perwira dan prajurit tanah air,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button