BERITA SEMASA

Op Pasir lindungi kepentingan negara daripafa ancaman luar

SANDAKAN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama delegasi Kementerian Pertahanan mengadakan lawatan kerja ke Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Operasi Padanan And Sipadan Island Resort (Op Pasir) Sektor Bravo, Pulau Berhala di sini hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, semasa lawatan itu  Menteri Pertahanan menerima taklimat yang disampaikan oleh Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (KATB 2), Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin berkenaan tahap pengoperasian Op Pasir yang dilaksanakan oleh Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

“Operasi yang telah dilaksanakan sejak tahun 2002 ini bertujuan untuk melindungi kedaulatan dan keutuhan Timur Sabah daripada sebarang bentuk ancaman pencerobohan serta konflik.

“Menteri Pertahanan turut berpeluang melihat dengan lebih jelas kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar kawasan operasi, meninjau keadaan keselamatan setempat dan bertemu dengan para pegawai dan anggota ATM yang ditempatkan di sekitar Sandakan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kehadiran pasukan ATM di Timur Sabah dilihat penting sebagai satu strategi cegah rintang berpadu dalam melindungi kepentingan negara daripada sebarang ancaman oleh anasir luar, berpandukan tiga kawasan lapisan berpadu merangkumi daratan, lautan dan udara.

Tambahnya, usaha ini berupaya meningkatkan keyakinan masyarakat setempat di samping merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan, ekonomi dan sosial, selaras dengan Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara dalam Kertas Putih

“Semasa lawatan, Menteri Pertahanan turut menyampaikan sumbangan berupa
pembelian peralatan sukan dan rekreasi bernilai RM10,000 dari Yayasan Lembaga
Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bagi kegunaan anggota beroperasi di Op
Pasir yang telah diserahkan kepada Komander ATB 2.

“Sumbangan tersebut, antara lain bertujuan menzahirkan keprihatinan Kementerian Pertahanan dan kerajaan dalam menjaga kemaslahatan anggota ATM yang melaksanakan operasi di samping memastikan moral anggota tentera sentiasa berada di tahap yang tinggi,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button