MINDEF arah ATM siasat dakwaan salah laku dalam kem tentera
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan mengenai kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral yang didakwa berlaku di dalam kem tentera.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan tersebut bertujuan menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.
Menurut MINDEF, dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
“Sekiranya didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, sebuah akaun di platform Threads mendedahkan dakwaan mengenai kewujudan budaya tidak sihat dalam kalangan anggota ATM.
Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk kewujudan mini bar di mess pegawai, penglibatan pegawai bawahan untuk membeli alkohol, selain kemasukan wanita ke dalam kawasan kem bagi memenuhi kehendak pegawai atasan.
Sehubungan itu, MINDEF menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi kementerian dan ATM.
“Kementerian Pertahanan dan ATM menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi.
“Kementerian juga tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej serta kredibiliti institusi pertahanan negara,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








